RSS

Bagaimana Cemburu Dalam Islam


Dalam sesebuah perhubungan, tidak salah jika ada perasaan marah atau cemburu kerana ia sudah adat cuma jangan berlebihan.
 
Emosi marah tidak harus menguasai diri kerana ia hanya akan mendatangkan keretakan dalam hubungan.
Mengikut kajian pakar, hampir 80 peratus keretakan dalam perhubungan berpunca apabila perasaan marah dijadikan perasaan utama. Ini berlaku apabila setiap kali wujud krisis dalam hubungan, setiap pasangan akan mula berfikir untuk memutuskan hubungan dan mencari pengganti yang mungkin lebih memahami perasaan diri yang sebenarnya.
 
Kadangkala masalah kecil diperbesarkan sedangkan masalah itu boleh diselesaikan dengan berbincang antara satu sama lain. Tetapi apabila perasaan marah sudah menguasai diri dan hubungan berakhir, lazimnya ia berlaku dengan alasan tiada jodoh dan sefahaman.

 

Memang benar jodoh itu di tangan Tuhan tetapi kita berhak berusaha agar jodoh kekal bersama orang tersayang.
 
Tetapi jangan hanya sebelah pihak saja berusaha. Usaha mesti dilakukan kedua-dua pihak untuk mendapatkan hasil lebih memuaskan.
Satu lagi perasaan yang perlu diatasi adalah cemburu. Tidak salah untuk rasa cemburu tetapi biarlah berpada-pada. Memang benar cemburu tandanya sayang tetapi jangan melampaui batas.
Tidakkah rasa sia-sia hubungan yang dijalin sekian lama terputus begitu saja hanya disebabkan cemburu pada pasangan?
 
Ramai yang memperkatakan soal cemburu malah pelbagai cara untuk mengekang perasaan cemburu daripada terus menyelubungi hidup.
Terdapat dua langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan perasaan cemburu mengawal hidup kita iaitu jujur dan setia.
 
Memang ada perkara yang tidak memungkinkan kita berterus terang tapi bagi mengelakkan pasangan memikirkan perkara yang bukan-bukan, lebih baik jujur dan berterus terang dengan pasangan bagi mengelakkan perselisihan faham berterusan.
Jika jujur pada pasangan, sudah pasti dia akan menaruh kepercayaan dan mengekalkan perhubungan itu hingga ke akhir hayat.
 
Kesetiaan juga memainkan peranan penting kerana jika kita sayangkan pasangan, sudah pasti kita juga akan setia padanya.
Jika sayangkan seseorang, sudah pasti kita tahu siapa yang ada di hati. Jadi, apabila sentiasa mengingati pasangan, amat mudah untuk kita mengelakkan diri daripada berlaku curang pada pasangan.
Cinta terasa indah apabila ke mana saja kita pergi, si dia sedia menemani tetapi terasa pahit apabila kita ternampak pasangan berjalan berdua-duaan bersama insan lain.
 
Apapun, jangan biarkan marah dan cemburu terlalu menguasai diri. Berikut sedikit panduan untuk membantu kita menjauhi rasa marah dan cemburu, sekali gus mengekalkan keindahan hubungan bersama si dia:
 
* Jangan sesekali memungkiri janji.
* Sentiasa jujur kepada si dia kerana wanita atau lelaki memang benci apabila ditipu.
* Beritahu si dia mengenai sesuatu perkara dengan tepat.
* Jika si dia dalam keadaan bermasalah, sentiasa menggembirakannya.
* Andai anda jujur, si dia akan setia kepada anda.
* Jangan terlalu mengongkong dirinya kerana dia juga inginkan kebebasan.
 
 
Leave a comment

Posted by on August 4, 2012 in Ilmu

 

Ujian Dari Allah..

Dalam al-Quran Allah Azzawajalla menceritakan banyak tamadun manusia dimusnahkan oleh Allah melalui bencana alam. Antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan gempa bumi dan kaum ‘Aad dimusnahkan dengan ribut taufan tujuh hari tujuh malam. Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum-kaum tersebut adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka.

Dalam surah al-Ankabut ayat 40 Allah SWT berfirman bermaksud:

“Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”

Peringatan ayat Allah SWT tersebut hendaknya menjadi pelajaran bagi kita bahawa akibat daripada kekufuran dan perbuatan maksiat yang dilakukan, akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah. Ketahuilah bahawa setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran yang berbeza. Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain merupakan peringatan bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya. Sedangkan bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa merupakan azab dan siksa dari Allah yang disebabkan oleh kekufuran dan kedurhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya. Dengan bencana juga, Allah hendak menunjukkan kepada manusia, mana antara orang yang benar keimanannya dan mana yang tidak.

Perlu difahami bahawa bencana alam juga boleh berlaku disebabkan daripada kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Demi wang ringgit bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembangunan dilaksanakan sesuka hati, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat .

Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 yangbermaksud:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Ayat ini menyatakan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alam semesta. Tindakan-tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Ini kerana, hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali.

Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan. Di negara kita, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri adalah agensi utama yang menyelaras segala tindakan mengenai bencana alam, namun usaha tersebut perlu diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak.

Firman Allah swt yang berksud:

“Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”. (Surah al-‘Araf: 97-98)

Sumber : Another Blog

 
Leave a comment

Posted by on April 13, 2012 in Peringatan

 

Bercinta Menurut Islam

Cinta ISLAM – Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah menjadi kebiasaan mereka apabila mereka yang dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam.

Antara ayat yang kerap di ucapkan bila berbicara tentang cinta:

“Ala, aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..”

“Saya cintakan awak kerana Allah..”

“Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..”

Firman Allah S.W.T:

“Dan janganlah kalian mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

(Al-Israa’: 32)

Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naiknya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang.

Bagaimana kita boleh menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber’couple’ sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina.

Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.

“Macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!”

“Kalau minta ‘break’, nanti dia sanggup tunggu aku ke?”

“Tak apa kot, kami jaga pergaulan walaupun ‘couple’..”

“Kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..”

Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya? Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.

Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100% tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya.

Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.

Firman Allah di dalam Surah An-Nur:

“Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).”

(Al-Nur 24 :26)

Iya, untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi ‘realiti kehidupan’ ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati.

Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan.

Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud;

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa” (Al-Furqan 25:74″)

Ingatlah!

Percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan.

Sumber :http://pakarcinta.com

 
Leave a comment

Posted by on February 21, 2012 in Ilmu

 

PERKAHWINAN MENURUT ISLAM

Antara persoalan semasa berkaitan dengan perkahwinan ialah:

1. BERSANDING

Bersanding ialah duduk bersebelahan antara pasangan suami dan isteri yang baru dikahwinkan si atas pentas khas yang dihias indah. Pasangan pengantin itu berpakaian kemas dan lengkap, diapit dan dikipas oleh dua orang khas di sebelah kiri dan kanan pengantin untuk tontonan orang ramai. Amalan bersanding merupakan suatu adat dan tradisi dalam masyarakat melayu. Asal amalan ini ialah suatu unsur dan pengaruh daripada budaya dan amalan agama Hindu dan animisme dan bertapak dalam tradisi masyarakat Melayu secara turun temurun.


Hukum dan perbahasan.

Jika dinilai pada maksud sebenar bersanding seperti yang diterangkan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tersebut maka ianya adalah HARUS. Sekadar pengantin lelaki dan perempuan duduk bersebelahan maka tiada masalah padanya. Cuma jika dibahaskan daripada sudut adat dan budaya yang diamalkan sekarang seperti disediakan pelamin yang mahal, wanita berhias berlebih-lebihan serta tidak menutup aurat , adat bertepung tawar dan sebagainya maka perkara seperti ini perlu dibahaskan satu persatu secara terperinci.

Pelamin

Berkenaan dengan pelamin yang mahal maka ianya tidaklah dituntut di dalam Islam. Walaupun kita kaya sekalipun maka tetap disarankan agar kita bersederhana di dalam berbelanja.Ramai yang menggunakan hujah bahawa pelamin sebegini perlu dilaksanakan sebagai kenang-kenangan untuk masa hadapan dan sebagainya. Hujah-hujah sebegini tidaklah boleh diterima pakai kerana lebih menjurus kepada hawa nafsu. Hukum dan saranan Baginda sallallahu alaihi wasallam sepatutnya lebih kita turuti.

Tetapi jika cuma disediakan tempat untuk bergambar bersama pengantin dan tempat tersebut dihias dengan seadanya, maka beberapa adab perlu diraikan.Antaranya ialah tidak berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita, wanita wajib menutup aurat di hadapan lelaki yang ajnabi( yang boleh dikahwininya) dan begitu juga golongan lelaki ,wajib bagi mereka menutup aurat di hadapan wanita ajnabiah. Jika kesemua perkara ini diraikan maka tiadalah masalah padanya.

Kesimpulan tentang hukum pelamin ini ialah kita melarang berlakunya pembaziran dan percampuran lelaki dan perempuan yang berlaku seperti zaman sekarang. Tetapi jika semua perkara tersebut boleh kita elakkan maka hukumnya adalah HARUS.

Sebelum kita membahaskan lebih panjang sebaiknya kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan membazir. Di dalam bahasa arab terdapat dua kalimah yang digunakan iaitu الإسراف dan التبذير. Sebahagian ulama mengatakan bahawa kedua-dua kalimah ini maksudnya adalah sama.

Al-Imam al-Jurjani rahimahullah mengatakan bahawa al-Israf ialah mengeluarkan harta lebih daripada perkara yang diperlukan.Manakala al-Tabzir pula ialah mengeluarkan harta bukan kepada perkara yang diperlukan (perkara maksiat).
Kata Guru kami yang mulia, Yusri Rushdi Al-Sayyed Jabr Al-Hasani di dalam satu kuliah beliau:

“Contoh mudah bagi al-Israf ialah seperti kita memerlukan untuk seminggu kehidupan kita sebanyak sekilo daging,tetapi kita membeli sebanyak 2 kilo daging maka ini dinamakan Israf.Manakala al-Tabzir ialah kita mengeluarkan walau sedikit wang untuk membeli perkara yang diharamkan maka ianya dikira al-Tabzir.Seperti membeli sebatang rokok yang berharga 50 qurush(matawang mesir lebih kurang 30 sen Malaysia) maka ini dinamakan al-Tabzir”
Kedua-dua perkara yang kita sebutkan ini adalah dicela dan tidak dituntut di dalam Islam. Jika berlebih-lebihan didalam perkara yang harus seperti contoh yang kita berikan tidak dituntut maka lebih-lebih lagi jika perkara itu menjurus kepada haram.

Bertepung tawar dan menabur beras kunyit

Ini merupakan adat turun-temurun yang dilakukan ketika majlis persandingan dilangsungkan. Sepanjang pembacaan saya tentang perkara ini , antara tujuan dilakukan perkara ini ialah untuk menambahkan semangat berdasarkan kekuningan padi kepada kedua pengantin. Terdapat juga jampi dan mentera yang tidak difahami bahasanya dengan tujuan menghalau roh-roh jahat dam sebagainya.

Jika perkara sebegini dilakukan maka hukumnya jelas HARAM. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam:

عن أبي هريرة رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : من أتى عرّافا أو كاهنا فصَدَّقَه بما يقول فقد كفر بما أُنزِل على محمد.

Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah radhiyallahu anhu katanya: Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Sesiapa yang mendatangi dukun dan bomoh ,malah membenarkan apa yang disebutkan oleh dukun atau bomoh tersebut, Sesungguhnya (orang-orang yang mendatangi bomoh dan dukun sebegini) telah mengingkari apa yang diwahyukan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.”

Perkara-perkara sebegini wajib ditegah berlaku di dalam masyarakat Muslim.

Alternatifnya, kita boleh melaksanakan majlis doa selamat bagi mendoakan kepada kedua pengantin agar dipelihara oleh Allah taala daripada sebarang kecelakaan. Maka ini sangat-sangat dituntut di dalam Islam.

Wanita berhias dan tidak menutup aurat

Bersanding dikatakan tujuannya adalah untuk mempertontonkan pengantin kepada hadirin. Perkara ini berbalik kepada hukum asal melihat wanita bagi lelaki ajnabi.Menurut para ulama, lelaki ajnabi diharamkan melihat wanita ajnabi walaupun bukan dengan tujuan syahwat. Ini jika tiada sebab yang mengharuskan bagi seorang lelaki tersebut melihat kepada wanita ajnabiah. Jika mempunyai sebab yang dibenarkan syarak seperti meminang, di dalam majlis pengajian, berubat dan ketika jual beli maka tiadalah masalah untuk lelaki ajnabi melihat kepada wanita ajnabiah.

Jika ada golongan yang mengatakan bahawa tujuan diadakan persandingan mengikut adat ialah untuk memperkenalkan kepada ahli keluarga dan orang ramai kedua-dua pengantin. Maka kita katakan, tiadalah masalah jika kita ingin memperkenalkan kedua-dua pengantin kepada orang yang hadir dengan syarat adab-adab yang kita sebutkan sebelum ini diraikan . Jika perkara ini diraikan maka syarak tidaklah menghalang perkara ini dilaksanakan.

Masalah aurat juga perlu dititik-beratkan oleh pengantin dan orang ramai yang hadir.Firman Allah taala di dalam surah al-Nur ayat 31:
وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آَبَائِهِنَّ أَوْ آَبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka , atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat wanita, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah taala, wahai orang-orang yang beriman , supaya kamu berjaya.”

Ayat ini sangat jelas menunjukkan arahan daripada Allah taala supaya menutup aurat.

Etika Pemakaian

Antara syarat-syarat pakaian bagi wanita dan lelaki ialah:

1. Mestilah pakaian tersebut daripada jenis yang menghalang daripada orang mengetahui warna kulitnya. Ini bermakna, seseorang tersebut tidak boleh memakai pakaian yang nipis sehingga orang boleh mengetahui warna kulitnya.

2. Mestilah pakaian tersebut menutup keseluruhan aurat lelaki dan wanita tersebut.

3. Mestilah pakaian yang dipakai tidak membolehkan orang mengetahui bentuk tubuh dan auratnya iaitu tidak ketat.

Kebanyakan orang pada zaman sekarang tidak memahami masalah menutup aurat ini dengan baik. Maka mereka melakukan kesilapan dalam keadaan mereka tidak sedar. Ketiga-tiga syarat yang kita sebutkan perlulah diraikan kesemuanya. Jika kurang salah satu daripada syarat-syarat tersebut maka seseorang tersebut masih dikira tidak menutup aurat. Kita mendapati ada golongan yang berpakaian ketat dan bilamana kita melarangnya maka mereka mengatakan bahawa yang penting orang tidak mengetahui warna kulit . Maka ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak faham syarat-syarat berpakaian yang diletakkan oleh syarak.

Maka para pengantin dan orang ramai perlulah meraikan perkara ini. Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian ialah berkenaan make-up pengantin. Berhiaslah sekadarnya, berpadalah dengan kecantikan asli yang diberikan Allah kepada kita. Tidak perlu membazir wang menjemput juru solek bagi mengkaburi mata orang lain . Malah kita bimbang termasuk di dalam ayat Allah taala di dalam surah al-Ahzab ayat 33:
وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأُولَى

Maksudnya: Janganlah kamu bertabbarruj sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah pada zaman dahulu.
WARNA PAKAIAN

Masalah warna pakaian juga menjadi perbahasan dikalangan orang ramai. Adakah syarat-syarat tertentu bagi warna pakaian bagi wanita? Menurut Syeikh Ali Jum’ah Hafizahullah di dalam kitabnya Fatawa Asriyah(Fatwa semasa) warna tidaklah ditetapkan oleh syarak bagi wanita cuma yang wajib bagi mereka ialah mengikut syarat-syarat yang diletakkan oleh syarak di dalam etika berpakaian .

Syarat berpakaian ialah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Pendapat yang mengatakan bahawa wanita perlulah memakai warna yang gelap-gelap agar manusia tidak memandang kepada mereka tidaklah terlalu tepat. Ini kerana ada terdapat golongan manusia yang menyukai warna yang gelap. Maka mereka tetap akan memandang kepada wanita yang berpakaian gelap.

Kesimpulan

Setelah kita membahaskan hukum bersanding ini , penulis mengharapkan sidang pembaca dapat memahami dengan sebaiknya tentang perkara ini. Hukum asalnya adalah harus.Cuma perkara-perkara yang berlaku disebaliknya yang menyebabkan ianya menjadi haram seperti bertepung tawar, jampi serapah, percampuran bebas wanita dan lelaki, membuka aurat dan pembaziran. Jika kesemua perkara ini dapat kita elakkan maka tiadalah masalah bagi kita meraikan adat tersebut.Jika perkara yang kita sebutkan ini tidak dapat diraikan maka hukumnya tetap menjadi haram. Wallahu a’lam.

(Rujukan : Ustaz Abd. Latif Muda & Ustazah Rosmawati Ali. 1997. Pengantar Fiqh. Pustaka Salam Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.)

 
Leave a comment

Posted by on February 14, 2012 in Munakahat

 

Peristiwa Hari – Hari dalam Islam

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Allah menjadikan masa dalam seminggu tu ada 7 hari..Isnin, Selasa ..Rabu..Khamis ..Jumaat..Sabtu dan Ahad… Dalam setiap hari tuh, ade peristiwa-peristiwa penting yang tercatat dalam diari islam itu sendiri…menjadi memori sepanjang zaman..Apakah peristiwa-peristiwa itu…silalah teruskan bacaan

 

Hari Isnin

Peristiwa-peristiwa yang terjadi pada hari ini ialah…

1. naiknya nabi Idris ke langit..
2. nabi Musa a.s berangkat ke bukit Thursina
3. Rasulullah s.a.w dilahirkan..
4. malaikat Jibril turun kepada rasulullah s.a.w buat kali pertama.
5. Amal perbuatan umat Nabi Muhamad dilapurkan pada hari Isnin.
6. Hari wafatnya Junjungan mulia…nabi Muhamad s.a.w
7. Bukti keesaan Alah diturunkan…”Qul huwallahu ahad”

Hari Selasa

1. wafatnya jurjis
2. Nabi Yahya a.s wafat pada hari ini.
3. Nabi zakaria wafat pada hari ini juga..
4. Tukang sihir Firaun tewas  dengan mukjizat Nabi Musa…
5. Asiah iaitu isteri kepada Firaun wafat pada hari ni.
6. habil terbunuh hari selasa..

Hari Rabu

1. Allah meneggelamkan Qarun bersama keluarga dan harta kekayaanya ke dalam perut bumi.
2. Allah menghancurkan Firaun beserta semua pengikut2nya (kat laut tuh)..
3. Allah menghancurkan raja Namruz bin Kan’an dengan memasukkan serangga ke dalam telinganya.
4. Allah menghancurkan kaum nabi Saleh a.s
5. Allah menghancurkan kaum nabi Hud a.s dengan hembusan angin yang kuat..

Hari Khamis

1. Nabi Ibrahim bertemu dengan Raja mesir.
2. Saudara-saudara Nabi Yusof berjumpa dengan Nabi Yusof setelah mereka membuang dan mengasingkannya.. (masa nih, Yusof jadi raja mesir yang terkenal).
3. Bunyamin iaitu saudara kecil Nabi Yusof datang ke mesir dan berjumpa dengan nabi yusof..
4. Nabi Yaakub datang ke negeri Mesir juga…untuk bertemu anakandanya yang dirindui.
5. Nabi Musa a.s memasuki mesir pada hari khamis untuk mengajak firaun menyembah kepada Allah.
6. Rasululllah s.a.w memasuki kota mekah selepas perjanjian hudaibiyah…

Hari Jumaat

1. Pernikahan antara Adam dan hawa
2. Pernikahan antara yusof dan zulaikha
3. Pernikahan antara Nabi Musa a.s dan Shafura binti Nabi syuaib a.s
4. Pernikahan antara Rasulullah s.a.w dengan khadijah khuwailid.
5. Pernikahan antara nabi sulaiman a.s dengan Ratu balqis dari negeri Saba’
6. Pernikahan antara Rasulullah s.a.w  dengan Siti Aisyah binti Abu Bakar.
7. Pernikahan antara Ali bin Abi Talib r.a dengan fatimah az-zahra

Hari Sabtu

Hari ni pernah disebut oleh Rasulullah sebagai hari tipu daya…sebab..

1.Kaum Nabi Nuh membangkang kepada Nabinya.
2. Kaum Nabi Saleh mencabar nabinya dengan menyembelih unta yang diamanahkan kepada mereka.
3. saudara-saudara Nabi yusof mengkhianati nabi Yusof dengan mencampakkannya ke dalam perigi di padang pasir.
4. Raja Firaun mencabar Nabi Musa
5. Orang2 yahudi mengkhianati dan menejar nabi Isa a.s untuk membunuhnya. Lalu, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit.
6. Orang2 Quraisy menipu dan mencabar Nabi Muhamad di Darun Nadwah.
7. kaum yahudi melanggar perintah Allah dengan menagkap ikan walaupun hari itu di larang mereka berbuat demikian.

Hari Ahad

1. Allah menjadikan neraka.
2. Allah mencipta bumi yang tujuh lapis
3. Allah mencipta langit yang tujuh lapis
4. Allah menjadikan 7 anggota adam.
5. Allah menjadikan bilangan hari yang tujuh.
6. Allah menjadikan bintang2 yang beredar..
7. Al;lah menjadikan laiutan yang tujuh…

Diantara hari-hari yang tujuh itu..hari Jumaatlah yang paling mulia..dan digelar penghulu bagi segala hari..banyak fadhilat yang boleh kita perolehi pada hari Jumaat…
Begitulah peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada sekian-sekian hari…hanya dengan mengimbas kembali lipatan sirah nabawiyah…barulah kita dapat gambaran sepenuhnya…alangkah baiknya kalau kita berada di bumi anbiya…bolehlah kita menuruti sejarah-sejarah  silam…zaman pemerintahan nabi-nabi…

 
Leave a comment

Posted by on February 13, 2012 in Ilmu

 

Ciri – Ciri Isteri Solehah

Ciri-ciri isteri solehah- Mengakui dan menerima kenyataan bahawa
suami ialah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumah tangga.
Tiada siapapun boleh menyangkal bahawa suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri.Satu
kurniaan Allah yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta
mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di
dunia dan di akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan
anak-anaknya.

Firman Allah: Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi
kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka
(lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki)
telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (An-Nisa: 34).

– Memberi keutamaan hak suami kerana bagi seorang isteri tidak ada hak yang lebih utama kepadanya selain hak suami.

Aisyah
r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai hak siapakah yang lebih
utama diberikan oleh seorang isteri. Rasulullah s.a.w. menjawab,
suaminya. Apabila ditanya mengenai hak siapakah yang lebih utama
diberikan oleh suami. Baginda menjawab, ibunya. (Hadis riwayat Hakim).


Bersifat amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan
menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi
dan rumah tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami
yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami
atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus
menggugat keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan
terhadap isteri.

Bijaksana mentadbir harta benda suami tanpa
membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuannya kerana
hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam
kehidupan suami.

– Sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati
suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang
menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.

Rasulullah
s.a.w. bersabda: Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin
(suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah azza wa jalla selain
isteri yang solehah. Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika
suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami
bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana
bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta
menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat
membelanjakannya. (Riwayat Ibnu Majah).

Isteri wajib mentaati
perintah suaminya selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak Islam.
Tetapi sayangnya ramai di kalangan suami yang menyalahgunakan pengertian
taat ini. Mereka mengambil kesempatan untuk membebankan isteri dengan
pelbagai hal yang tidak wajar.

– Berusaha menambah ilmu
pengetahuan dan mempertingkatkan nilai-nilai akhlak yang murni supaya
sejajar dengan petunjuk yang diarahkan oleh Islam mengenai sahsiah
seorang isteri yang seharusnya dipilih oleh suami.

Sabda
Rasulullah s.a.w., Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu
daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan
agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak,
kamu akan beruntung kelak. (Riwayat Ahmad).

Mempunyai sifat
redha, yakin diri serta tawakal kepada Allah untuk menghadapi sebarang
masalah dan cabaran hidup berkeluarga selaras dengan firman Allah,
Bergaullah dengan isteri-isteri kamu menurut cara yang wajar dan baik.
Sekiranya kamu berasa tidak senang disebabkan perangai mereka,
bersabarlah mungkin dalam perkara yang kamu tidak suka itu Allah
menjadikan kebaikan yang banyak. (An-Nisa: 19).

Walaupun ayat ini
ditujukan kepada suami, pengajaran yang terkandung amat perlu menjadi
panduan kepada para isteri. Setiap orang hendaklah menyedari hakikat
bahawa tiada seorang pun yang cukup sempurna dalam segala aspek. Oleh
kerana itu kita perlu berusaha memperbetulkannya dan menyelesaikannya.

Rasulullah
memberi panduan, Janganlah seorang suami yang mukmin membenci isteri
yang mukminah disebabkan tingkah lakunya. Jika ia tidak berkenan kepada
satu daripada tingkah lakunya, tentu masih ada tingkah lakunya yang lain
amat disenanginya. (Hadis sahih).

– Membantu dan menolong
suaminya agar menjadi anak yang sedia berbakti kepada kedua-dua ibu
bapanya, lebih-lebih lagi ibunya yang telah lanjut usia, uzur dan miskin
kerana tanggungjawab anak lelaki lebih berat dan lebih utama terhadap
kedua-dua ibu bapanya.

– Bersedia menjadi penyokong kuat kepada
perjuangan suaminya iaitu perjuangan yang tidak menyimpang dari
garis-garis yang dibenarkan oleh Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w.,
Allah memberi rahmat kepada seorang isteri yang jika ia bangun malam dan
solat, ia membangunkan suaminya supaya sembahyang bersamanya. Tetapi
sekiranya suaminya enggan, direnjiskan air ke muka suaminya dengan penuh
kasih sayang.

– Berusaha menjadi ibu yang baik, bertanggungjawab
mendidik dan mengasuh anak-anaknya menjadi baik dan dapat melaksanakan
hukum-hakam agama, berakhlak mulia sehingga menjadi teladan kepada orang
ramai.

Inilah sebahagian daripada sahsiah isteri yang seharusnya
ada pada setiap wanita untuk mencapai kesempurnaan hidup berkeluarga
dan mendapat keredhaan Allah yang diharapkan oleh setiap suami seperti
doa Nabi Daud a.s.: “Ya Allah, aku mohon kepada-Mu dikurniakan seorang
isteri yang solehah, yang dapat membantuku menyelesaikan urusan duniaku
dan urusan akhiratku.”

 
Leave a comment

Posted by on February 13, 2012 in Isteri Solehah

 

Kepentingan Bersugi Gigi Cara Sunnah

Mukaddimah: Pernahkah anda jumpa satu alat yang menggabungkan berus gigi, ubat gigi, pencungkil gigi, penghapus bau mulut, pengurut gusi dan juga pembersih lidah, semua dalam satu? Itulah pakej bonus yang terdapat pada BERUS SUGI…
Ketinggalan Zaman?
Ada yang kata,’zaman sekarang canggih, dah ada berus gigi. Kalau nabi hidup zaman kita, dia pun guna kolget’. Hehe.. Lucu tapi karut. Boleh ke kolget menaikkan darjat solat 70 kali ganda? Tahukah saudara, di zaman baginda,ada macam-macam alat pembersih mulut, tapi bersugi tetap pilihan baginda kerana ianya dipromosikan oleh bukan calang-calang, Malaikat Jibril a.s. Secanggih-canggih berus gigi plastik, ada ke yang boleh diguna tanpa ubat gigi? Berus sugi boleh. Jadi, mana yang lebih canggih? Sebenarnya, berus sugi mendahului zaman.


Sugi
Berus sugi (miswak) diambil daripada akar pokok “Araak” (Salvadora Persica). Ianya terkenal sejak sekian lama sebagai satu-satunya alat penjagaan gigi dan mulut yang organik, mudah dan terbukti berkesan. Pengunaannya telah direkodkan seawal 7000SM di dalam kaedah perubatan Babylon dan ayurvedic India, dan tamadun-tamadun agung seperti Greek, Rom, Mesir Lama, Yahudi dan Islam. Berus sugi juga dikenali sebagai ‘amalan para nabi-nabi’. Nabi Muhammad s.a.w amat menggalakkan umat Islam bersugi sebagai satu amalan kebersihan diri dan kesempurnaan ibadat.Hari ini, berus sugi masih digunakan oleh berjuta-juta manusia seluruh dunia.

Apakah itu bersugi ? Bersugi bermaksud membersihkan gigi dengan menggunakan benda² yang kesat lagi suci seperti kayu sugi ( contoh : kayu pohon arak dari tanah Hijaz ) dan sebagainya.

Kepentingan bersugi dalam Islam ? Daripada Ibn Umar r.a. berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : “Jadikanbersugi itu satu amalan, kerana ianya(bersugi) menyihatkan mulut dan merupakan kesukaan kepada Maha Pencipta” ( Hadis Riwayat Al-Bukhari ).

Hukum bersugi? Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : ” Kalau tidak menyusahkan umatku nescaya aku menyuruh mereka bersugi setiap kali hendak menunaikan solat” (hadis riwayat Al-Bukhari). 

Melalui hadis di atas, para ulama telah menghukumkan bersugi sebagai sunat mua’kad. Ini kerana walaupun wujudnya perkataan ‘amartahum’ ( bermaksud ‘menyuruh’ ) yang mempunyai perintah wajib, namun perkataan tersebut telah didahului oleh perkataan ‘laula’ ( bermaksud jika tidak ) yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. memberikan kelonggaran kepada umatnya, maka menjadikan hukum bersugi ini sebagai sunat muakkad.

Semakin berkembang ilmu sains, maka semakin banyak lagi rahsia-rahsia, misteri dan amalan tradisional suatu ketika dahulu terbongkar. Penemuan rahsia gelombang elektromagnetik pada kayu sugi adalah sesuatu yang sungguh menakjubkan para saintis.
 
Leave a comment

Posted by on February 12, 2012 in Sunnah 24 jam

 
 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.